Apabila bercakap mengenai Politeknik Malaysia, kita sering kali membayangkan barisan graduan yang tangkas, kompeten, dan run-ready—sedia untuk memacu operasi industri sebaik sahaja melangkah keluar dari institusi. Kita sangat pakar dalam melatih aspek teknikal (hard skills). Namun, dalam mendepani realiti dunia moden yang penuh dengan kompleksiti etika dan cabaran ekologi global, adakah kecekapan teknikal semata-mata sudah cukup?
Membentuk Amalan Masyarakat dengan Nilai dan Budaya Tinggi
Persoalan ini membawa kita kepada satu matlamat yang jauh lebih besar daripada sekadar memenuhi kadar kebolehpasaran graduan (marketability). Hala tuju utama sistem pengajian tinggi kita sebenarnya adalah untuk membina graduan holistik yang mampu membentuk amalan masyarakat dengan nilai dan budaya yang tinggi.
Kita bukan sahaja mahu melahirkan tenaga kerja yang jago memutarkan skru, membina kod perisian, atau menguruskan rantaian bekalan industri. Kita mahu membentuk acuan insan yang membawa prinsip moral yang tinggi bagi menolak sebarang bentuk penyelewengan di tempat kerja, di samping sentiasa membudayakan cara hidup yang lestari demi generasi masa hadapan. Apabila graduan ini keluar ke industri, mereka akan membawa budaya kerja yang beretika, yang akhirnya akan merembes masuk membentuk acuan masyarakat yang bertamadun tinggi.
Belajar Daripada Negara Maju: Apabila Nilai & Kelestarian Menjadi Budaya
Jika kita melihat model negara-negara maju yang menerajui ekonomi global, kejayaan industri mereka tidak pernah bersandar kepada kecekapan teknologi semata-mata, sebaliknya dipasak kuat oleh budaya nilai yang tinggi:
- Jepun (Monozukuri & Mottainai): Di Jepun, sistem pendidikan teknik mereka disuntik dengan falsafah Monozukuri (seni pembuatan barangan dengan penuh etika, kebanggaan, dan tanggungjawab murni) serta konsep Mottainai—satu nilai kesyukurannya yang mendalam terhadap sumber alam agar tidak membazir. Hasilnya? Lahirlah masyarakat industri yang mempunyai integriti kerja luar biasa, sifar rasuah dalam projek kejuruteraan, dan amalan kelestarian yang menjadi standard hidup harian tanpa perlu dipaksa.
- Jerman (Fachhochschule & Green Tech): Jerman, melalui sistem universiti sains gunaan (Fachhochschule) yang menjadi acuan dunia TVET, telah lama mengasimilasikan elemen ESD ke dalam kurikulum mereka. Pelajar kejuruteraan dilatih untuk memiliki kompetensi berfikir secara sistemik (Systems Thinking). Kesannya, industri automotif dan tenaga boleh diperbaharui Jerman memimpin dunia bukan kerana produk mereka murah, tetapi kerana reka bentuk yang beretika, tahan lama, dan mesra alam sekitar.
- Switzerland (Circular Economy): Dalam pendidikan vokasional mereka, pengurusan sisa dan konsep Circular Economy (Ekonomi Kitaran) ditanam terus dalam setiap modul perdagangan dan teknikal. Kesannya, amalan kelestarian ini terbawa-bawa ke dalam pasaran kerja sehingga amalan memelihara alam sekitar bertukar menjadi satu budaya hidup automatik masyarakatnya.
Pembinaan Nilai berterusan dan menyeluruh
Bagi memastikan Malaysia bergerak ke arah acuan budaya tinggi seperti negara-negara maju tersebut, landskap jaminan kualiti pendidikan tinggi negara telah dikemas kini secara rasmi melalui penguatkuasaan Malaysian Qualifications Framework (MQF) 2.0 Edisi Kedua (2024) Versi 2 (V2).
Di bawah kerangka terbaharu ini, Value-Based Education (VBE) dan Education for Sustainable Development (ESD) bukan lagi sekadar elemen ‘pilihan’ atau pengisian aktiviti masa lapang yang diletakkan di pinggiran kurikulum. Ia telah diangkat menjadi komponen pematuhan struktur kurikulum yang wajib dan ber-audit dalam semua kursus.
Di peringkat Politeknik Malaysia, pembugaran ini diterjemahkan secara tersurat melalui dua acuan khusus yang saling melengkapi:
- 6 Indikator VBE (Value-Based Education): Berperanan sebagai kompas moral, membentuk integriti, dan memanusiakan graduan TVET.
- 8 Kompetensi Kelestarian (8SC / ESD): Berperanan membangunkan keupayaan berfikir secara kritis, sistemik, dan strategik demi kelangsungan ekonomi, masyarakat, dan planet.
Menilai Realiti Sedia Ada: Merubuhkan Tembok Silo ‘PLO 11’
Jika kita meneliti ekosistem politeknik hari ini, usaha ke arah pembentukan nilai dan kelestarian ini sebenarnya bukanlah benda asing. Kita sudah lama mempunyai tapak-tapak asas yang kukuh melalui Hasil Pembelajaran Program (PLO 11 – Ethics and Professionalism) yang menguji pelajar tentang pematuhan etika, serta penganjuran pelbagai kursus Teknologi Hijau dan aktiviti ko-kurikulum khidmat komuniti.
Namun, mari kita melakukan refleksi secara jujur. Di manakah kedudukan elemen-elemen ini dalam minda pelajar? Realitinya, wujud satu jurang pemisahan (silo mentality). Pelajar cenderung melihat subjek etika atau aktiviti hijau sebagai “syarat pelengkap kredit” atau sekadar aktiviti sampingan kelab yang terasing daripada subjek teras kejuruteraan, perdagangan, atau teknologi maklumat. Nilai-nilai ini dianggap sebagai perkara kasual luar kelas—sesuatu yang dilakukan sekadar untuk lulus gred, bukan untuk dijiwai sebagai kompetensi profesional.
Memperkukuh Akademik beserta Nilai
Bagi merapatkan jurang tersebut dan memastikan pembentukan graduan holistik ini tercapai, komponen 6VBE dan 8SC tidak boleh lagi dibiarkan berada di luar ekosistem utama. Elemen-elemen ini mesti diserap masuk secara sistemik ke dalam instrumen pentaksiran kursus teras dan dinilai dengan pemberian markah (assessment).
Apabila aspek nilai dan kelestarian ini mempunyai wajaran gred, pemberat skema, dan rubrik penilaian yang jelas di dalam kelas, secara automatik pelajar (dan juga pensyarah) akan melihat kompetensi ini secara serius. Kita bukan lagi sekadar melahirkan robot yang mahir memegang alatan industri, tetapi modal insan holistik yang bakal memimpin kemajuan dengan tanggungjawab moral yang tinggi.
Bagaimanakah rupa pecahan 6VBE dan 8SC ini berdasarkan rujukan dokumen rasmi? Kita akan bedah secara mikro dalam posting seterusnya (Siri 2).
